Dalam dunia nasyid, banyak tema yang cuba diketengahkan melalui wadah hiburan ini. Kasih sayang kepada Tuhan, berbakti pada ibu bapa dan guru, keamanan, kisah sahabat dan rasul serta banyak lagi pengajaran yang cuba diselitkan melalui lagu-lagu ini. Tema keinsafan turut tidak ketinggalan dan menjadi favourite saya mendengar lagu-lagu keinsafan ini. Salah satu cara menginsafi diri dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Terpanggilku ke sini suatu tika
Kutiba di kota bersama cita-cita
Lantas hati terpaut pada maya pesona
Percaya segalanya indah sempurna
Ooh.. Masa berlalu menduga kesetiaan
Kealpaan diri menuju kehancuran
(Chorus)
Aku yang lena
Lemah tak berdaya sering terlupa
Jua terpedaya pada segala
Dusta yang fana
Hanyut dibuai mimpi dunia
Aku yang angkuh
Kian terleka menghitung waktu
Turuti rasa tanpa cintaMu
Daku gelisah
Terus menjauh tiada arah
Inginku kembali
Padamu oh Kekasih
Tak ingin kutempuh hidup sebegini
Resah keliru
Mengaburi mata hatiku
Tiada ketenangan kurasakan di jiwa ini
Tanpa CahayaMu aku terus terjatuh
Kurayu redhaMu sambutlah tanganku
(Chorus)
Kekasih kupohonkan kemaafanMu
Kekasih kudambakan keampunan dariMu
Lagu : Kembali padaMu
Artis: Mirwana
Album: Bumi AKhir Usia
Sejarah saya bersama Mirwana (cewah) tak seperti kumpulan nasyid yang lain. Mungkin kerana album pertama mereka keluar ketika saya sedang sibuk menghadapi PMR, atau mungkin saya tak terbuka untuk mendengar kumpulan nasyid lain selain Raihan, Hijjaz, The Zikr dan Rabbani ketika itu. Ketika itu hanya lagu-lagu popular mereka sahaja yang saya dengar seperti Inni Akhafullah, Aku Tanpa Cintamu dan Hikmah Kembara.
Lagu ini pertama saya dengar melalu sahabat baik saya di Facebook. Dia menulis ‘note’ mengenai lirik lagu lagu ini dan seterusnya meletakkan link video. Tidak saya nafikan, suara ahli Mirwana yang sedap turut menjadi sebab saya meminati lagu ini. Melodinya juga sedap didengar.
Lagu ini istimewa kerana mendengarnya seorang diri mampu menggetarkan hati. Menghayati liriknya juga mampu mengalirkan air mata. Tak banyak lagu seumpama ini yang saya pernah dengar melainkan lagu dari kumpulan Hijjaz. Mungkin perkara sebegini bersifat subjektif dan terpulang pada orang yang mendengarnya, namun lagu ini tetap berada pada kelas tersendiri, paling kurang pada pendapat saya. Moga usaha mereka berdakwah melalui nasyid dan lagu seperti ini dimudahkan dan mendapatkan ganjaran dari Allah.
Album Bumi Akhir Usia ini juga mempunyai lagu hits lain seperti Tika Masanya menampilkan Hujan, Andaiku Pergi, dan Jauh. Lagu-lagu inilah yang mendekatkan saya dengan Mirwana sebelum lagu Kembali PadaMu. Jadi jangan lupa dapatkan album yg original di pasaran!(promote)