Mitsaqan Ghaliza

Posted: January 17, 2013 in Aku dan diriku
Tags: ,

Setahun berlalu. Banyak perkara yang berlaku yang ingin saya tulis di sini, tetapi sekadar disimpan sebagai draf, atau hanya berlegar di fikiran. Rasa rugi jugak sebenarnya, kerana apa yang saya fikir ketika itu, mungkin tak akan berulang lagi. Harapnya, pengajaran yang saya dapat dalam siri peristiwa yang berlaku sebelum ini dapat menjadi bekal dan panduan sebagai hamba Allah secara tak langsung.

Mitsaqan ghaliza. Kalimah yang pernah dibaca oleh kebanyakan kita dalam Al-Quran. Seingat saya, saya mula mencari maksud ayat ini bila berjumpa dengan album gambar yang bertajuk ‘Mitsaqan Ghaliza’ di Facebook yang mengandungi gambar-gambar perkahwinan, lantas membaca terjemahan ayat ini bila membaca Al-Quran. Kalimah ini disebut 3 kali dalam Al-Quran:

Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

(4:21)

Dan Kami telah mengangkat gunung Tursina  ke atas mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka (mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka: “Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah diri” dan Kami juga perintahkan mereka: “janganlah kamu melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu,” dan Kami telah mengambil perjanjian setia yang teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya).

(4:154)

(Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi(umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka).

(33:7)

Read the rest of this entry »

Masa lepas, kini

Posted: November 25, 2011 in Apa yang saya belajar
Tags:

Kadang-kadang rasa ingin kembali ke tahun pertama. Segalanya indah ketika itu. Ada senior yang sudi menghantar makanan ke rumah, senior yang prihatin bertanya keperluan dan pelbagai perkara, kawan-kawan untuk gelak ketawa berseronok dan mungkin kerana menjadi mad’u, terasa seperti ditatang minyak yang penuh.

Masa berlalu. Banyak perkara berlaku sejak menjejakkan kaki di bumi Australia ini yang mengajar saya. Hilang juga seronok yang dirasai ketika tahun lepas. Mungkin kerana menjadi senior, hilang sudah ‘keistimewaan’ menjadi junior. Belajar dan mengharung jalan dakwah ini juga memberi banyak rasa pahit, disebalik manis yang sering dirasa.

Saya amat yakin segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. ‘Always look on the bright side of life’. Mungkin perspektif tentang hidup ini perlu saya ubah. Mungkin juga saya yang perlu berubah.

Moga anda dan saya terus kuat.

Oktober

Posted: October 16, 2011 in Adelaide
Tags: ,

Oktober tiba lagi. Sedar atau tak, kejap je dah sampai bulan 10. Rasa seperti semalam melambai tangan kepada famili di LCCT untuk bertolak ke Perth untuk pulang ke Adelaide kembali. Rasa seperti baru sahaja berjalan-jalan menemani adik-adik yang baru sampai, meneroka tempat-tempat menarik di sini. Segar lagi rasanya tiupan angin ‘summer’ awal tahun lalu yang mampu membuat kulit menjadi kering dan merekah Hadirnya bulan ini juga menandakan kedatangan musim bunga. Bagi pencinta alam, inilah masa yang dinanti dalam setahun kerana tumbuh daun hijau dan mekarnya bunga-bunga yang menjadikan suasana sangat indah. Adelaide sebagai sebuah bandar terancang di Australia, mempunyai pokok-pokok yang ditanam sepanjang jalan serta taman-taman bunga yang akan menghasilkan kombinasi bunga dan warna yang sangat cantik.

                                                                                                                               
Diambil semasa musim bunga tahun lepas. cantik kan?

Saya juga perasan kehadiran burung yang seakan-akan kakaktua hinggap di pokok-pokok bila musim bunga tiba. Mungkin mereka bermigrasi ke sini, begitulah andaian saya. Kerana burung-burung ini tiada pada musim-musim lain dan hanya kelihatan ketika musim bunga sahaja. Burung ni nampak macam burung kakatua tapi bila saya sebut supaya diajuk, senyap pula. Entahlah.

siapa tahu ni burung apa?

Kedatangan bulan Oktober juga menandakan musim peperiksaan yang semakin hampir. Bagi pelajar seperti saya, inilah masa yang ‘ditunggu-tunggu’ kerana akan berhempas pulas mengulangkaji pelajaran dan hadirnya tekanan untuk menjawab peperiksaan dengan jayanya. Jadual peperiksaan yang dikeluarkan oleh universiti turut menyemarakkan semangat untuk bersedia lebih awal untuk berjuang di medan perang ini.

Jadual peperiksaan

Peperiksaan di sini biasanya akan berlangsung dalam masa 2 minggu dan bermula pada hari Sabtu. Untuk sem ini, ia akan bermula pada 5 November sehingga 19 November. Seperti yang anda boleh lihat, jadual peperiksaan saya kali ini agak rileks kerana hanya ada 1 subjek untuk minggu pertama peperiksaan. Bagi sesetengah orang, habis ‘exam’ awal adalah menyeronokkan tapi tidak bagi saya. Biarlah habis ‘exam’ lambat, asalkan ada masa yang cukup untuk mengulangkaji semua subjek. Saya sendiri sudah lali dengan situasi ini kerana sudah beberapa kali habis exam lewat.

 

 

Dan bahang peperiksaan telah pun dirasai kini.

Rona merah itu

Posted: October 6, 2011 in Puisi
Tags: , ,

Rona Merah Itu

 

Rona merah itu

Berbentuk segi tiga

Mengunjur pada putih

Bersama hitam dan hijau

Itulah lambang maruahmu

Yang dulu diinjak-injak

Yang kini dipijak-pijak

 

Rona merah itu

Dulu membasahi bumimu

Sungai darah itu terus mengalir sayu

Dibantu hujanan bom dan peluru

Tika air mata sengsara mengalir laju

Tidakkah kau berasa pilu?

 

ketika di sana mereka diuji derita

kita di sini riang gembira terleka

berpesta seperti dunia ini kita sahaja

sedang Gaza terus merintih dihina

 

Rona merah itu

Akan terus mengalir

Membasahi bumi Palestin Anbiya

Selagi bibir ini hanya bermain kata

Selagi semangat tak dibumi nyata

 

Rona merah itu

Kini mewarnai ufukmu

Namun belum terlewat wahai sahabatku

Untuk menjadi Salahuddin yang ditunggu

manusia
954am 17092011

Harapan

Posted: September 30, 2011 in Aku dan diriku, Apa yang saya belajar

Hampir 8 bulan saya tak menulis di sini. Bagi sesetengah orang, blog saya ni boleh la dikatakan bersawang, berdebu dan dihuni sarang labah-labah. Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsi dan ditulis sepanjang tempoh ini tapi sekadar bermain di fikiran. Mungkin kerana dihimpit kesibukan membuat tugasan sebagai pelajar, atau hal-hal keduniaan yang lain, atau juga rasa malas yang menguasai diri. Semua kombinasi alasan ni membuat blog ini terus sunyi tanpa sebarang entri baru sehingga entri kali ini.

Kekuatan menulis (macam la perlukan kekuatan luar biasa) kali ni hadir bila saya menyelongkar kembali bahan tarbiah saya di tahun pertama dan terjumpa sekeping kertas bernilai, yang mengandungi harapan tinggi mereka yang membimbing saya atas jalan tarbiyah ini. Berada sendiri dalam kasut mereka; cuba mengajak mad’u dalam tarbiah, cuba mengikat hati-hati mereka dengan ikatan akidah yg utuh, saling menghubungi, semuanya membawa saya mengimbas kembali apa yang telah berlaku tahun lepas. Memori dan kata-kata yang terkandung dalam kertas ini, memberi nilai signifikan pada diri saya, walaupun mungkin kini baru saya menyedari nilainya.

Seseorang yang bersedia untuk meningkatkan diri dan mahu meningkat akan terus meningkat…

Seseorang yang tidak tahu untuk berubah, masih ragu-ragu untuk berubah akan kekal berada pada tingkat yang sama…

Berubahlah…

Dan gunalah jalan tarbiyyah ini untuk berubah.

FAF

Read the rest of this entry »

Kantoi!

Posted: February 12, 2011 in Apa yang saya belajar
Tags: ,

Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: “Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu Dengan janji Yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan Kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya  (14:22)

Kantoi menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, bermaksud terkena. Kita sendiri selalu mendengar perkataan ini dan lebih tahu mentafsirkannya. Lalu menerusi ayat di atas, kantoilah segala gerak usaha syaitan cuba untuk menyesatkan umat manusia. Sejak dibuang dari syurga dan melafazkan kalimah mahu menyesatkan anak cucu Adam, pelbagai usaha telah dilakukan syaitan.

Dalam memperdaya manusia, diceritakan dalam suatu riwayat bahawa Nabi Musa A.s pernah didatangi syaitan. Syaitan berkata, “Wahai Musa, engkau telah dipilih Allah untuk membawa risalahNya dan engkau selalu berkata benar. Aku salah satu makhluk yang banyak berdosa dan mahu bertaubat. Maka mohonkanlah kepada Tuhan agar menerima taubatku.”

Selepas itu Nabi Musa memohon kepada Tuhan lalu diperkenankan, dan baginda berjumpa syaitan. “Wahai syaitan, pergilah kau sujud hormat ke kubur Nabi Adam dan selepas itu barulah taubatmu diterima.” Sejurus mendengar nama Nabi Adam, syaitan terus marah dan menunjukkkan sifat takburnya. Syaitan berkata, “Sedangkan Adam masih hidup pun ak tak sujud padanya, inikan pula ketika dia sudah mati.”

“Wahai Musa, sesungguhnya engkau berhak menerima balasan dari aku kerana engkau sudah memohon pertolongan kepada Allah untuk pengampunanku. Namun ingatlah mengenai 3 perkara, nescaya ak tidak membuat kebinasaan ke atasmu.”

“Apakah 3 perkara itu?” Tanya Musa A.s. Syaitan menjawab, “Pertama, ingatlah ketika kau sedang marah, aku akan membawa bisikan ke hatimu. Mataku akan berada dalam matamu dan aku berjalan di dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.

Kedua, ketika kau bertempur di medan perang menghadapi musuh, aku akan datang mengingatkanmu kepada anak, isteri dan keluarga agar kau berundur secara teratur.

Ketiga, berhati-hatilah duduk dengan perempuan bukan muhrim kerana aku akan menjadi penghubung antara kau dan perempuan itu dan di antara perempuan itu dengan engkau.”

Nah, syaitan dah mengaku dia menipu dan beri panduan (ingatan) bila kita kena bersedia. Takkan kita masih terhegeh-hegeh menyusuli jalan mereka?

Kembali PadaMu

Posted: February 11, 2011 in Nasyid
Tags: , ,

Dalam dunia nasyid, banyak tema yang cuba diketengahkan melalui wadah hiburan ini. Kasih sayang kepada Tuhan, berbakti pada ibu bapa dan guru, keamanan, kisah sahabat dan rasul serta banyak lagi pengajaran yang cuba diselitkan melalui lagu-lagu ini. Tema keinsafan turut tidak ketinggalan dan menjadi favourite saya mendengar lagu-lagu keinsafan ini. Salah satu cara menginsafi diri dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

 

Terpanggilku ke sini suatu tika

Kutiba di kota bersama cita-cita

Lantas hati terpaut pada maya pesona

Percaya segalanya indah sempurna

 

Ooh.. Masa berlalu menduga kesetiaan

Kealpaan diri menuju kehancuran

 

(Chorus)

Aku yang lena

Lemah tak berdaya sering terlupa

Jua terpedaya pada segala

Dusta yang fana

Hanyut dibuai mimpi dunia

Aku yang angkuh

Kian terleka menghitung waktu

Turuti rasa tanpa cintaMu

Daku gelisah

Terus menjauh tiada arah

 

Inginku kembali

Padamu oh Kekasih

Tak ingin kutempuh hidup sebegini

Resah keliru

Mengaburi mata hatiku

Tiada ketenangan kurasakan di jiwa ini

 

Tanpa CahayaMu aku terus terjatuh

Kurayu redhaMu sambutlah tanganku

(Chorus)

 

Kekasih kupohonkan kemaafanMu

Kekasih kudambakan keampunan dariMu

Lagu : Kembali padaMu

Artis: Mirwana

Album: Bumi AKhir Usia

Sejarah saya bersama Mirwana (cewah) tak seperti kumpulan nasyid yang lain. Mungkin kerana album pertama mereka keluar ketika saya sedang sibuk menghadapi PMR, atau mungkin saya tak terbuka untuk mendengar kumpulan nasyid lain selain Raihan, Hijjaz, The Zikr dan Rabbani ketika itu. Ketika itu hanya lagu-lagu popular mereka sahaja yang saya dengar seperti Inni Akhafullah, Aku Tanpa Cintamu dan Hikmah Kembara.

Lagu ini pertama saya dengar melalu sahabat baik saya di Facebook. Dia menulis ‘note’ mengenai lirik lagu lagu ini dan seterusnya meletakkan link video. Tidak saya nafikan, suara ahli Mirwana yang sedap turut menjadi sebab saya meminati lagu ini. Melodinya juga sedap didengar.

Lagu ini istimewa kerana mendengarnya seorang diri mampu menggetarkan hati. Menghayati liriknya juga mampu mengalirkan air mata. Tak banyak lagu seumpama ini yang saya pernah dengar melainkan lagu dari kumpulan Hijjaz. Mungkin perkara sebegini bersifat subjektif dan terpulang pada orang yang mendengarnya, namun lagu ini tetap berada pada kelas tersendiri, paling kurang pada pendapat saya. Moga usaha mereka berdakwah melalui nasyid dan lagu seperti ini dimudahkan dan mendapatkan ganjaran dari Allah.

Album Bumi Akhir Usia ini juga mempunyai lagu hits lain seperti Tika Masanya menampilkan Hujan, Andaiku Pergi, dan Jauh. Lagu-lagu inilah yang mendekatkan saya dengan Mirwana sebelum lagu Kembali PadaMu. Jadi jangan lupa dapatkan album yg original di pasaran!(promote)